Wednesday 18 May 2016

Tugasan 2 (Penyebaran maklumat palsu melalui pautan di media sosial)

Hari demi hari, pelbagai teknologi canggih dicipta bagi memudahkan kehidupan umat manusia di muka bumi ini. Daripada peranti-peranti berteknologi tinggi sehinggalah penemuan saintifik yang mengubah masa depan dunia, semuanya memperlihatkan kebijaksanaan manusia untuk menentukan survival mereka. Lebih menakjubkan, teknologi-teknologi yang dicipta ini adakalanya melangkaui imaginasi umat manusia yang tidak mungkin kita gambarkan sebelum ini. Jika 20 hingga 30 tahun dahulu, kita diperkenalkan dengan Internet, kini dunia pula dilanda dengan penggunaan media sosial yang kian berpengaruh dalam kehidupan segenap lapisan masyarakat. Dengan hanya menekan punat pada perantinya, apa sahaja boleh dilayari dalam sekelip mata. Manusia kini semakin bijak, lebih bijak daripada zaman datuk nenek terdahulu. Lebih bijak hinggakan ada kalanya kebijaksanaan yang dimiliki itu menyebabkan mereka ini terlalu alpa dan terikut-ikut dengan peredaran semasa. Begitu kuat sekali pengaruh teknologi-teknologi yang canggih hinggakan manusia seolah-olah terpaksa berlumba-lumba untuk mendapatkannya bagi memastikan masing-masing tidak ketinggalan zaman. Di sebalik kebijaksanaan dan kecerdikan itu, timbul satu sikap yang dilihat kurang menyenangkan dalam diri mereka apabila masing-masing terlalu takjub dengan penyebaran maklumat secara sewenang-wenangnya.
Dewasa ini, platform untuk berhubung antara satu sama lain begitu mudah. Adanya kemudahan media sosial seperti WhatsApp, Facebook, Twitter mahupun Instagram membolehkan manusia bertindak sebagai "world citizens" dan menjadi wartawan rakyat. Bermacam-macam mesej diterima dan disebarkan kepada rakan-rakan mereka seolah-olah apa yang diterima itu benar-benar belaka. Akan tetapi, dalam keghairahan menyebarkan mesej-mesej tersebut, mereka mungkin terlupa dan tidak sedar bahawa bukan semua mesej yang disampaikan di media sosial adalah sahih belaka.
Beberapa kes yang berlaku sejak kebelakangan ini seperti penyebaran khabar angin bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dibubarkan oleh segelintir penulis blog tidak bertanggungjawab, penyebaran bahawa pihak kerajaan cuba menahan bantuan makanan kepada mangsa banjir di Kelantan baru-baru ini dan juga penyebaran berita kematian palsu seorang pemimpin pembangkang jelas membuktikan kebijaksanaan yang dimiliki itu adakalanya disalahgunakan untuk tujuan yang tidak bermanfaat. Kita tidak salahkan penyebaran berita-berita kepada orang lain selagi penyebaran yang dilakukan itu dibuat dengan cara yang baik. Bagaimanapun, apabila penyebaran berita itu dibuat dengan niat untuk memporak-perandakan keadaan, untuk mengaibkan orang lain, maka perbuatan sedemikian perlu dihentikan segera.

No comments:

Post a Comment